KONSEP KSSR
RUPA BENTUK KURIKULUM ABAD KE 21
PENGENALAN
Kurikulum
adalah ‘core’ kepada ‘business’ pendidikan. Ia merupakan satu rancangan
pendidikan yang membendung segala ilmu pengetahuan, kemahiran, nilai
dan norma serta unsur-unsur kebudayaan dan kepercayaan yang menjadi
pilihan masyarakat untuk diwariskan kepada ahli-ahli dari satu generasi
kepada satu generasi lain. Rancangan pendidikan ini bertujuan untuk
memenuhi keperluan individu dan engara. Dalam Laporan Kabinet Mengkaji
Pelaksanaan Dasar Pelajaran (1979) kedua-dua keperluan dihuraikan
seperti berikut :
" Peranan
kurikulum dalam pendidikan adalah untuk membina perkembangan murid yang
lengkap dari segi jasmani, rohani, akal dan emosi serta menyemai,
menanam dan memupuk nilai-nilai akhlak yang diingini, di samping
menyampaikan ilmu pengetahuan. Dalam konteks negara Malaysia, kurikulum
itu juga berperanan untuk melahirkan rakyat yang mendokong cita-cita
negara dalam mweujudkan perpaduan yang berpandukan Rukunegara di samping
menghasilkan tenaga rakyat yang terlatih untuk keperluan negara. "
[ Laporan Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran (1979) ]
Dalam
proses menyediakan warganegara Malaysia dengan pendidikan yang lengkap
bagi mengisi dua keperluan utama iaitu keperluan individu dan keperluan
negara, kurikulum perlu dirancang dan diurus dengan teliti. Ini amat
penting untuk menentukan supaya kurikulum ini sesuai dengan keperluan
dan berkualiti cemerlang.
Pembangunan
tenaga manusia dan tenaga rakyat menjelang abad ke 21 tidak terhad
kepada penyediaan dan pembekalan tenaga pekerja yang berketrampilan
dalam sektor-sektor perindustrian dan perdagangan sahaja. Y.A.B. Perdana
Menteri telah menghuraikan bentuk, corak dan tumpuan yang perlu
dilakukan.
"Kita
mestilah mempunyai hasrat untuk mencapai taraf yang setinggi-tingginya
dari segi ketrampilan pada rakyat kita, dari segi penghargaan mereka
akan kemahiran dan pengetahuan serta kemajuan diri, dari segi kemampuan
diri, dari segi kemampuan berbahasa, dari segi sikap mereka terhadap
kerja dan disiplin, dari segi motivasi mereka terhadap kecemerlangan dan
terhadap mendorongkan semangat keusahawanan".
[ Malaysia Melangkah Ke Hadapan, hal. 21 ]
"Kita
mestilah memastikan bahawa terdapat satu adunan yang seimbang antara
golongan profesional, separa-profesional dan ahli ketukangan, selain
terdapatnya imbangan yang wajar antara orang-orang mempunyai kemahiran
dalam bidang sains dan teknologi, sastera dan ilmu-ilmu sosial".
[ Malaysia Melangkah Ke Hadapan, hal. 21 ]
Kurikulum
bagi abad ke 21 perlu dibentuk supaya relevan dan koheran dengan
keadaan pada masa itu dan boleh memenuhi matlamat-matlamat yang
ditentukan. Garis panduan tentang bentuk, isi dan pelaksanaan kurikulum
itu pastinya ditentukan (dictated) oleh senario yang dapat dilihat dari
aliran pembangunan dan kemajuan teknologi.
Perancangan
kurikulum abad ke 21, mestilah bersifat futuristik, fleksibel dan
dinamik supaya dapat menentukan corak masyarakat dan profil bangsa dan
warganegara Malaysia.
Warganegara
Malaysia bagi abad ke 21 mestilah dapat menangani cabaran yang akan
dibawa arus oleh globalisasi, ledakan ilmu dan maklumat. Warganegara
berupaya merancang masa depan mereka dan mampu membuat pilihan yang
bijak dan tepat sesuai dengan budaya dan nilai-nilai semasa.
FOKUS / PENEKANAN KURIKULUM
Untuk
memenuhi matlamat mewujudkan masyarakat Malaysia yang bersikap terbuka
dan kreatif, kurikulum yang direncanakan mestilah mampu membekalkan
pelajar dengan kesediaan diri yang kukuh dari segi intelek, rohani,
jasmani dan emosi. Fokus pengisian kurikulum semestinya lebih daripada
penguasaan pengetahuan dan kemahiran asas tetapi kepada penguasaan
berbagai-bagai kemahiran iaitu :-
- kemahiran berfikir secara kritikal dan kreatif
- kemahiran berkomunikasi secara berkesan
- kemahiran menikmati keindahan ciptaan dan seni
- kemahiran membuat pilihan dan membuat keputusan
- kemahiran mencari, menginterpretasi dan mengaplikasi maklumat
- kemahiran bergaul dan bekerjasama dengan orang lain
- kemahiran kepimpinan dan pengurusan
Di dalam usaha ini kurikulum perlu memberi penekanan kepada perkara-perkara berikut :
(a) Pembelajaran Koperatif
Kurikulum
berkisar dalam bentuk tugasan, permasalahan dan projek yang dijalankan
oleh pelajar dalam kumpulan yang mengandungi berbagai tahap kebolehan.
Penglibatan diri dalam kemahiran ‘interpersonal’ merangkumi kemahiran
membuat keputusan, mengendalikan konflik dan mengekalkan hubungan baik
antara ahli kumpulan.
(b) Berfikir Secara Kritis dan Reflektif
Fokus
aktiviti kurikulum kepada kebolehan membuat pilihan dan keputusan
berlandaskan sebab-sebab yang rasional serta justifikasi. Minda yang
kritis berupaya mengenal pasti andaian-andaian, idea, pandangan membawa
kepada perubahan tingkah laku peribadi yang lebih baik atau penghasilan
produk baru.
(c) Pengembangan Kreativiti
Kurikulum
perlu banyak menonjolkan aktiviti-aktiviti yang kreatif termasuklah
berfikir secara logik, membina daya imaginasi dan boleh memberi
pandangan. Kreativiti-kreativiti dapat dipupuk apabila individu tersebut
diberi galakan.
(d) Kemahiran Generik
Kemahiran-kemahiran
generik bolehguna dapat menyediakan tenaga pekerja yang mahir, cekap
dan berketrampilan di tempat kerja dan alam pekerjaan. Pekerja yang
berketrampilan menjadi aset kepada majikan, dapat memajukan diri dan
menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Pekerja yang mempunyai
kepakaran akan begitu mobile dan kerap bertukar kerja. Penguasaan
kemahiran generik memberi peluang kepelbagaian jenis pekerjaan dalam
bidang yang berlainan.
(e) ‘Multilinggualism’
Arus
globalisasi dan ledakan maklumat memerlukan kebolehan pelbagai bahasa
untuk Rakyat Malaysia perlu menguasai dua bahasa atau lebih (selain
daripada Bahasa Melayu) supaya boleh berkomunikasi dengan berkesan, dan
berupaya menggunakan segala maklumat dalam pelbagai bahasa.
(f) Patriotisme dan Ketatanegaraan
Kesinambungan
pembinaan semangat patriotisme dan identiti kebangsaan dilanjutkan.
Kebudayaan nasional, ideologi dan aspirasi nasional akan dapat
mengukuhkan lagi identiti kebangsaan dan membentuk bangsa Malaysia yang
berwibawa dan bermoral tinggi.
(g) Penghayatan Nilai-Nilai Murni
Pemupukan
dan penghayatan nilai murni masyarakat Malaysia dilanjutkan di samping
nilai-nilai baru masyarakat moden. Hanya insan baik, beradab dan
bermoral tinggi mampu menguasai ilmu-ilmu baru tanpa mengorbankan agama,
akhlak dan kebudayaan bangsa. Insan baik, sedar insaf bahawa ia perlu
menguasai ilmu bagi melaksanakan tugas terhadap dirinya, Tuhan, keluarga
dan masyarakat manusia serta alam sekelilingnya.
(h) Pelbagai Kecerdasan
Setiap
individu mempunyai kecerdasan dan kebolahan yang berbagai. Kesemua
potensi seperti yang disarankan dalam teori Pelbagai Kecerdasan
(Multiple Intelligences) iaitu verbal-linguistik, logiko-matematik,
muzik, spatial, bodily-kinesthetic, inter-personal, dan intrapersonal
diberi tumpuan. Ini dapat melahirkan individu yang holistik dan
seimbang.
(i) Kemahiran Belajar Untuk Belajar
Kemahiran
belajar diajar seiringan dan disepadukan dengan pembelajaran sesuatu
mata pelajaran. Kemahiran membaca pantas, mencari dan memilih maklumat,
merujuk, membuat nota, menulis ringkasan, bercakap di khalayak ramai dan
sebagainya diberi penekanan dan disepadukan dalam proses pengajaran dan
pembelajaran.
ORGANISASI KURIKULUM
Pendidikan Prasekolah
Penekanan
kurikulum kepada kemahiran dan pengetahuan, di samping menurut 'graded
objectives' (konsep Mastery Learning) dan 'activity-based'. Program yang
anjal, (flexible) dan tidak formal. Proses pembelajaran secara tidak
formal melalui konsep bermain sambil belajar. Bermain-menjalankan
aktiviti secara terancang dan tidak terancang (bebas) mengikut objektif
yang disarankan dalam garis kurikulum. Pembelajaran berlaku semasa
aktiviti dijalankan sama ada dalam bentuk pengalaman, hasil kerja dan
lain-lain. Penekanan kesediaan yang kukuh bagi kemahiran 3M (membaca,
menulis, mengira) melalui bermain. Ini merupakan kesediaan bagi
kanak-kanak yang akan menghadapi ujian diagnostik pada tahun 3 (program
Lompat Kelas). Kawalan harus dititikberatkan supaya guru tidak mengajar
3M 'right away'.
Perlunya
ada kesinambungan prasekolah- tahun 1 dijalankan agar pengalaman
prasekolah tidak disia-siakan di tahun 1. Kemahiran yang telah dikuasai
oleh kanak-kanak prasekolah patut disambung di tahun 1, serta diulang
dan dipulihkan pada tahun 1 jika kanak-kanak tidak menguasainya. Bagi
mereka yang telah bersedia, pengukuhan dijalankan untuk mengayakan
pengalaman mereka di samping mengurangkan kebosanan mempelajari perkara
yang sama.
Pendidikan Rendah
Tempoh
pendidikan rendah adalah antara 5 hingga 7 tahun. Keanjalan tempoh
belajarnya ini memungkinkan kanak-kanak cerdas pintar menamatkan
pendidikan rendah dalam tempoh 5 tahun dan kanak-kanak yang kurang
berkeupayaan dalam tempoh 7 tahun. Walau bagaimanapun, umumnya, tempoh
pendidikan rendah adalah 6 tahun.
Matlamat
Matlamat
pendidikan sekolah rendah adalah untuk memastikan perkembangan potensi
kanak-kanak secara bersepadu, menyeluruh dan seimbang. Aspek-aspek
intelek, rohani, emosi dan jasmani diperkembang ke arah melahirkan insan
yang seimbang, harmonis dan berakhlak mulia.
Struktur Organisasi
Struktur
organisasi kurikulum mengandungi komponen-komponen yang membantu
perkembangan kanak-kanak secara bersepadu. Komponen-komponen yang
dicadangkan ialah :
- Komunikasi
- Matematik, sains dan teknologi
- Kerohanian, nilai dan sikap
- Kemanusiaan dan kesenian
- Perkembangan diri
- Kokurikulum
i. Komunikasi
Fokus
utama kurikulum merangkumi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina
dan Bahasa Tamil. Ketrampilan berbahasa seperti bertutur, membaca dan
menulis dengan berkesan ditekankan terutama dalam bahasa pengantar
sekolah (Bahasa Melayu, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil).
Kemahiran-kemahiran asas dalam Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa
Tamil juga diberi penekanan.
(ii) Matematik, Sains dan Teknologi
Berfokus
kepada kemahiran asas-asas operasi matematik, kemahiran proses sains
dan teknologi penguasaan pengetahuan asas diberi perhatian.
(iii) Kerohanian, Nilai dan Sikap
Tumpuan kepada pemupukan sikap dan nilai murni masyarakat. Pengetahuan dan amalan agama Islam dilanjutkan seperti sedia kala.
(iv) Kemanusiaan dan Kesenian
Ilmu
pegetahuan tentang kemasyarakatan dan kemanusiaan setempat dan global
didedahkan. Melalui kesenian kreativiti bakat dan daya appresiasi
dipupuk.
(v) Perkembangan Diri
Merangkumi
perkembangan jasmani dan kesihatan dan mental. Perkembangan mental
seperti pemikiran kritis, menyelesai masalah dan membuat keputusan gaya
kehidupan yang sihat merentas kurikulum.
(vi) Kokurikulum
Lanjutan
kepada kurikulum bilik darjah, dalam bentuk pelbagai aktiviti.
Keigatan-kegiatan persatuan, sukan dan pasukan pakaian seragam
dilanjutkan.
Oleh
kerana tempoh persekolahan lebih anjal, dicadangkan supaya kandungan
kurikulum dipertingkatkan mengikut kebolehan dan keupayaan pelajar
seperti berikut :
Peringkat Asas : [untuk semua dan dikhususkan kepada kumpulan lemah]
Peringkat Umum : [untuk semua dan dikhususkan kepada kumpulan sederhana]
Peringkat Tinggi : [untuk kumpulan cerdas pintar sahaja] (advances)
Pendidikan Menengah
Pendidikan
di peringkat ini diberi dalam jangkamasa lima tahun. Pelajar diberi
peluang bersekolah sehingga mereka berumur 17 tahun supaya lebih
bersedia untuk memasuki pasaran pekerjaan. Ia memberi peluang
murid-murid mengikuti beberapa jenis kursus agar dalam tahun-tahun
kesepuluh mereka boleh belajar berdasarkan bakat dan kemampuan serta
menentukan bidang pekerjaannya untuk masa depan.
Matlamat
Matlamat
pendidikan menengah adalah untuk memperkembangkan potensi individu
secara bersepadu dan menyeluruh dari segi intelek, rohani, emosi dan
jasmani ke arah melahirkan insan yang seimbang, berakhlak mulia dan
berketrampilan untuk pembangunan negara.
Struktur Organisasi
Kurikulum peringkat menengah digubal tiga peringkat iaitu :
Kursus Peringkat Asas :
- Mengembangkan kemahiran untuk kehidupan positif dan produktif
- Mengajar mata pelajaran akademik dan kemahiran sehubungan untuk alam pekerjaan
Kursus Peringkat Umum
- Mengembangkan kemahiran berkomunikasi, kemahiran peribadi dan aplikasi praktikal
- Mengajar kemahiran akademik dan kemahiran sehubungan untuk alam pekerjaan taupun untuk melanjutkan program pendidikan di peringkat maktab/politeknik
Kursus Peringkat Tinggi
- Mengembangkan kefahaman tentang prinsip, teori, aplikasi praktikal dan isi kandungan kursus pengajian
- Mengajar kefahaman akademik untuk kemasukan institusi pengajian tinggi
Kursus-kursus pengajian dibahagikan kepada dua kumpulan
1. Kumpulan Teras
- Komunikasi
- Matematik, sains dan teknologi
- Kerohanian, nilai dan sikap
- Perkembangan diri
2. Kumpulan Elektif
Pelbagai mata pelajaran elektif ke arah pengkhususan ataupun alam pekerjaan.
PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Pengajaran
dan pembelajaran merupakan aspek penting dalam pelaksanaan kurikulum.
Menjelang abad ke 21 pelajar perlu mendapat segala kemudahan yang
disediakan untuk membantu mereka dalam proses pembelajaran. Komputer
sudah pasti digunakan secara meluas.
Sumber
pengetahuan utama abad ke 21 kelak merupakan sumber yang berkaitan
dengan teknologi maklumat. Dengan itu kemudahan seperti komputer, multi
media, cakera padat dan lebuh raya maklumat seperti 'internet' perlu
disediakan untuk digunakan oleh semua pelajar. Adalah diharapkan
pengajaran dan pembelajaran pada abad ke 21 dibantu sepenuhnya oleh
komputer. Ini bukan bertujuan menggantikan guru dengan penggunaan
teknologi tetapi untuk menimbulkan suasana pengajaran dan pembelajaran
yang lebih menyeronokkan, berkesan dan lebih bermakna kepada pelajar.
(a) Teknologi Maklumat/Komputer
Dalam
konteks pendidkkan, teknologi maklumat merupakan peralatan teknologi
komunikasi atau sistem rangkaian elektronik yang boleh digunakan untuk
mengumpul, menyimpan, memproses, menyalurkan dan menyampaikan maklumat
secara pantas dan tepat seperti INTERNET atau MULTIMEDIA atau HYPERMEDIA
untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran.
Perkembangan
bidang teknologi maklumat telah dapat memudahkan manusia berkomunikasi
dalam mengurus, menyimpan dan menyebar maklumat dengan lebih canggih
sama ada dalam bentuk data teks, imej atau suara.
Pelajar
dalam abad ke 21 pasti berada dalam gelombang teknologi maklumat, untuk
itu setiap pelajar perlu celik komputer. Ini kerana komputer berupaya
meningkatkan mutu pembelajaran. Sudah sampai ketikanya komputer menjadi
alat standard di semua sekolah di peringkat rendah, menengah dan lepasan
menengah.
Penggunaan
multimedia seperti CD-ROM dapat membantu meningkatkan penguasaan
pelajar dalam pembelajaran. Ini kerana sesebuah CD-ROM mampu menyimpan
lebih kurang 20 buah ensklopedia yang tebal. Malah penggunaan CD-ROM
dalam menggalakkan pelajar lebih berdikari untuk memperolehi ilmu.
Semua
sekolah di Malaysia akan dihubungkan antara satu sama lain melalui
JARING dan seterusnya INTERNET. Pelajar kita akan tergolong dalam
'global classroom'. Mereka berpeluang bersidang dan bertukar pendapat
tentang apa sahaja dengan rakan mereka di sekolah lain malah dengan
pelajar lain di seluruh dunia.
Dalam
era ledakan maklumat dan timbunan ilmu, pengunaan teknologi komputer
menyemarakkan pelajar menyusun maklumat dan pada masa yang sama mencari
suatu fakta spesifik secara efektif dan pantas.
(b) Pengajaran dan Pembelajaran Berpusatkan Pelajar
Proses
pengajaran dan pembelajaran dalam abad ke 21 masih tetap berpusatkan
pelajar. Malah ia perlu dipertingkatkan daripada apa yang diamalkan
sekarang. Guru memainkan peranan lebih penting kepada pelajar dengan
melibatkan pelajar sepenuhnya secara aktif dalam semua aktiviti sama ada
di dalam atau di luar darjah. Guru lebih-lebih lagi berperanan sebagai
pemudah (fasilitator) pembelajaran dan berperanan sebagai pembekal
maklumat.
Pelbagai
aktiviti pengajaran dan pembelajaran perlu dirancang oleh guru bagi
membina dan mengukuhkan minat murid terhadap pembelajaran. Murid
dibimbing supaya bersedia menerima pengajaran dan berupaya untuk
meneruskan pembelajarannya sendiri. Pelajar ketika itu perlu dilatih
untuk berdikari, yakin pada diri sendiri dan meningkatkan rasa
tanggungjawab.
Dalam
rangka pengajaran dan pembelajaran berpusatkan pelajar, tenaga
pengajar/guru di sesebuah bilik darjah sekurang-kurangnya terdiri
daripada seorang guru dan seorang pembantu guru untuk membimbing pelajar
yang tidak melebihi 25 orang pelajar. Keadaan kelas dengan dua orang
guru dengan sekelompok murid patut dijadikan amalan bagi meningkat dan
mengukuhkan proses pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan pelajar.
(c) Pendidikan Jarak Jauh
Pendidikan
Jarak Jauh (PJJ) merupakan kesinambungan inovasi kreatif dalam
pendidikan diri abad ke 20 ke abad ke 21. Peluasan PJJ seharusnya sampai
ke sekolah dari peringkat rendah lagi tidak sahaja terhad di
pusat-pusat pengajian tinggi. Pendidikan Jarak Jauh dalam proses
pengajaran dan pembelajaran abad ke 21 mengambil kira faktor-faktor
berikut :
- Bilangan hari persekolahan adalah fleksibel (mungkin tidak lebih tiga hari seminggu)
- Setiap sekolah mempunyai kemudahan komputer
- Penggunaan bahan pembelajaran yang telah diterbitkan sebagai asas untuk pelajar
- Bahan khusus yang terancang untuk memenuhi keperluan belajar individu
- Kebolehubahan (flexibility) kandungan kurikulum bahan pembelajaran melalui struktur modular
- Pembentukan bahan pembelajaran yang terancang dan sistematik mengandungi objektif yang jelas, alat ujian kendiri, aktiviti pembelajaran dan maklum balas pelajar.
(d) Pendekatan Modular
Pendekatan
secara modular berperingkat kesukaran bagi setiap tajuk disediakan
dalam bentuk bercetak dan/atau CD-ROM untuk satu-satu tahun pengajian.
Modul ini disediakan untuk semua mata pelajaran di semua peringkat
persekolahan.
Pelajar
boleh beralih ke modul berikutnya apabila selesai menggunakan modul
yang disediakan tanpa menunggu arahan guru. Pendekatan modul ini telah
diamalkan di institusi pengajian tinggi tempatan. Apa yang perlu ialah
menyesuaikannya mengikut tahap kebolehan pelajar.
(e) Mastery Learning
Pendekatan
pembelajaran berfokus kepada penguasaan pelajar terhadap sesuatu
perkara yang diajarkan kepada mereka. Penguasaan pelajar ditentukan
melalui ujian diagnostik. Tindakan susulan diberikan kepada mereka yang
belum menguasai supaya kelemahan mereka tidak terhimpun di akhir setiap
pembelajaran.
(f) 'Tracking' dan 'Banding'
Bergantung
kepada tahap penguasaan pembelajaran, pelajar ditempatkan dalam
beberapa kumpulan sama ada kumpulan asas (basic), kumpulan umum
(general) atau kumpulan maju (advance). Pembelajaran juga dilaksanakan
mengikut sistem banding iaitu 'vertical' dan 'horizontal'. Melalui
sistem ini pelajar berubah kelas mengikut kebolehan dalam mata
pelajaran. Misalnya pelajar Tahun 2 sekolah rendah boleh mempelajari
matematik Tahun 3 sekiranya ia sudah menguasai kemahiran matematik Tahun
2.
(g) Sistem Kredit
Unit
kredit adalah nilai masa/tempoh dan tugasan yang diperlukan oleh
pelajar untuk menyiapkan kerja-kerja kursus yang telah ditetapkan bagi
setiap kursus pengajian. Kerja-kerja kursus ini termasuklah menghadiri
kelas, membuat kerja projek, tugasan, kerja-kerja makmal dan amali.
Pelajar dibenarkan mengulang mata-mata pelajaran yang tidak mencapai
asas yang ditetapkan.
PENILAIAN
Aspek
penilaian kemajuan pelajar adalah penting untuk menentukan tahap
penguasaan, kemahiran dan penghayatan. Maklumat tentang tahap penguasaan
pelajar menjadi petunjuk untuk membuat perancangan pengajaran dan
pembelajaran seterusnya. Alat-alat dan perkaedahan penilaian mestilah
benar-benar dapat mengukur dengan tepat kebolehan dan keupayaan pelajar.
(a) Penilaian Berasaskan Sekolah
Sekolah
terus diberi mandat untuk mengendalikan penilaiannya sendiri. Ini
memandangkan hanya pihak sekolah sahaja yang tahu tahap pencapaian
muridnya. Pelajar dinilai mengikut tahap masing-masing. Pelajar
cemerlang akan naik ke tahap yang lebih tinggi manakala pelajar yang
sederhana dan lemah diberi tindakan susulan melalui program pemulihan
dan pengayaan.
(b) Penilaian Berterusan
Penilaian
berterusan dijalankan untuk mempastikan pelajar benar-benar sudah
menguasai pengetahuan dan kemahiran yang dikehendaki (mastery learning).
Penilaian berterusan dapat mengenal pasti tahap penguasaan pelajar
supaya kelemahan pelajar diatasi dan tidak terhimpun sehingga akhir
pembelajaran.
(c) Penilaian Berasaskan Elemen Subjek
Setiap
subjek (mata pelajaran) mengandungi pelbagai elemen, selain daripada
pengetahuan dan kemahiran. Elemen-elemen sesuatu subjek perlu diberi
penekanan untuk menilai sama ada pelajar benar-benar mengetahui dan
menguasai subjeknya. Misalnya dalam subjek Pengajian Kejuruteraan Awam,
elemen-elemen seperti kebolehan berkomunikasi, kebolehan mereka
(design), kebolehan praktik, kebolehan menyiasat, kebolehan mengurus dan
kebolehan membuat anggaran dinilai bersama dengan pengetahuan.
(d) Penilaian Proses Di Samping Penilaian Hasil
Proses
yang diambil untuk menghasilkan sesuatu projek perlulah dinilai.
Sekarang ini penilaian hanya dibuat apabila projek itu siap tanpa
mengambilkira prosesnya. Sebagai contoh jika seseorang murid dikehendaki
membuat praktikal di sesebuah kilang sebagai penyelia, guru perlu
membuat penilaian dari hari pertama hinggalah tamat tempoh praktikalnya.
Alat penilaian perlulah dibuat mengikut situasi, tugasan dan bidang
yang dinilai.
(e) 'Authentic Assessment'
'Authentic
Assessment' bermaksud murid-murid dinilai mengikut perilaku yang
dikehendaki oleh guru. Murid-murid telah tahu apa yang dikehendaki
daripada mereka dan bagaimana mereka akan dinilai. Penilaian ini
menonjolkan kekuatan murid-murid dan intergrasi antara pengetahuan dan
kemahiran yang dipelajari dari pelbagai sumber. Satu penilaian individu
dan rakan sebaya menggunakan folio, ujian amali dan penilaian berasaskan
prestasi menggunakan faktor, konsep, pengetahuan dan kemahiran berfikir
yang tinggi.
(f) Penilaian Hasil Pembelajaran (Learning Outcomes)
Hasil
pembelajaran adalah pengetahuan, kemahiran dan nilai yang boleh diukur
ataupun diperhatikan seperti yang telah ditetapkan pada sesuatu
peringkat persekolah/pembelajaran. Hasil pembelajaran menerangkan tahap
pengetahuan, kemahiran dan nilai yang sepatutnya telah dikuasai.
Kriteria-kriteria tahap penguasaan dikenalpasti dan penilaian
menggunakan Ujian Rujukan Kriteria (CRT).
(g) 'Bench Marking'
'Bench
Marking' merupakan satu proses pengukuran ke atas hasil, proses dan
prestasi ke arah satu tahap peningkatan yang memuaskan tinggi. Penilaian
dibuat secara berterusan sehinggalah pelajar sudah dapat mencapai satu
tahap penguasaan pembelajaran yang sesuai dengan kebolehan dan
keupayaannya. Tahap pencapaian boleh ditetapkan di peringkat sekolah,
daerah, negeri ataupun negara.
(h) Ujian / Peperiksaan Secara On-Line
Ujian
dan peperiksaan perlu untuk menentukan piawaian yang dibuat berdasarkan
kepada hasilan pembelajaran yang terbaik. Peratusan pelajar yang dapat
mencapai atau mengatasi piawaian yang ditetapkan memberi petunjuk kepada
kualiti pembelajaran. Bagi memastikan kualiti pembelajaran sentiasa
tinggi, pelajar digalakkan menduduki ujian penilaian apabila mereka
sudah bersedia dan sudah menguasai hasil pembelajaran yang ditetapkan.
PENUTUP
Perlu
ditegaskan bahawa apapun bentuk reformasi kurikulum yang dianjurkan
tidak akan dapat hasil yang diharapkan jika tidak diikuti dengan
penyusunan semula di dalam bidang-bidang lain, kerjasama di antara
agensi-agensi di Kementerian Pendidikan dan mengambil perhatian yang
berat tentang pelaksanaannya. Dalam menjayakan hasrat penubuhan Sekolah
Bestari, tumpuan utama seharusnya diberikan kepada pembangunan prasarana
teknologi, penyediaan latihan semula guru, penyediaan bahan kursus dan
format penilaian, di samping penglibatan pihak swasta, ibubapa dan
komuniti dalam menangani tugas yang besar ini.
No comments:
Post a Comment